Nuffnang

Sunday, October 14

SPA Interview


Salam alaik. Lama tak meng-update eh? Tetiba ada mood nak menulis cerpen lepas baca buku novel psycho Fixi ni. Hehe
Amaran: Cerpen ini sangat panjang!

              Pagi ini, aku bakal menghadiri interview di ‘Mini Putrajaya’. Seawal jam 5 pagi aku terjaga daripada lena oleh kerana apa, aku sendiri tak pasti. Tahu-tahu je dah terasa macam kena celikkan mata. Turun sahaja dari katil, tangan aku pantas mencari Blackberry untuk memeriksa sebarang notifikasi dari Twitter. Setelah berpuas hati,aku melangkah malas ke bilik air. Dalam perjalanan, automatic tangan aku menyambar tuala mandi yang tersidai di tempatnya.
             Usai membersihkan diri, aku masuk ke bilik dan bersiap. Sempat aku mengacau adik yang sedap tergolek di atas katil dengan pandangannya tergam di skrin Galaxy Y yang masih berbau kedai pagi-pagi buta. Satu jam kemudian, barulah aku berpuas hati dengan penampilanku yang serba ringkas. Mukaku cuma bertempek bedak bayi dan calitan celak di kening. Bibirku pula ku calit sedikit lip balm untuk  mengelakkannya kering dan merekah.
             Jam 6.30 pagi, aku keluar dari bilik dan memeriksa sekali lagi barang yang telah aku sumbat ke dalam Reebok hitam hadiah dari abah sewaktu SPM tahun lepas.aku tampal pula dua keping plaster di atas tumit kaki untuk mengelakkan kakiku melecet entah yang keberapa kalinya. Maklumlah kasut baru, aku dah serik nak pakai kasut baru kalau tak tampal plaster. Parut yang dahulu masih jelas di kaki. Kasut sarung hitam bertumit itu baru aku beli beberapa bulan yang lepas semata-mata untuk dipakai waktu hari temuduga. Takkan nak sarung selipar jamban pulakkan?
             Setelah memboloskan diri ke dalam kereta, aku hanya menadah telinga mendengar tips dan nasihat daripada abah. Orang lama, dah tentu banyak makan garam. Yang sesuai, aku sematkan dalam hati, yang terasa sukar untuk diterima, kubiarkan hilang bersama angin lalu. Sepanjang beberapa puluh minit perjalanan, hatiku tidak gundah seperti malam sebelumnya. Tenang bagai sedang menikmati bayu di tepi pantai.
             Sampai sahaja di ‘Mini Putrajaya’, hatiku sedikit cuak apabila terlihat kelibat-kelibat manusia yang tidak aku kenali. ‘Macam mana nak buat kawan ni? Semua lelaki je. Hmm’ Semakin dekat dengan destinasi yang dituju, aku hampa apabila tiada langsung manusia yang aku kenal. Aku tercegat bagi mannequin di butik baju di suatu sudut. Memerhati suasana sekeliling yang tiada istimewanya. ‘Lambat lagi ke nak bukak pejabat ni?’ rungut aku dalam hati. Tiba-tiba aku ternampak dia! Gembiranya dalam hati, bila nampak Adaha, kawan sekelas dahulu yang kini bergelar pelajar matrikulasi di Labuan. “Weh! Kau interview jugak?” “Ya!” “Jawatan apa?” “MA. Kau?” “Samalah.” Dan dia pergi merayau ke tempat lain dengan kakaknya. Akhirnya ada jugak kawan! Takdelah nervous sangat. Yang paling penting, tak payah pening-pening fikir cara nak buat kawan baru! Hati aku bersorak kegembiraan.
            Apabila jam menunjukkan waktu 7.30 pagi, mak dan abah mula beredar meninggalkan aku yang tercengang-cengang sebab tak tahu ke mana arah tuju. Dah lah Adaha entah kemana menghilangnya. Aku teragak-agak mengatur langkah ke dinding yang ditampal senarai nama yang menentukan dimana kami semua ditempatkan. Aku terjengket-jengket cuba mencari nama aku kerana aku ni tidaklah tinggi mana. Kontot sahaja. Mwahaha! Hah! Dah nampak! Nama aku terletak dalam kotak yang ke-34. Bilik peperiksaanku di bilik Perak manakala bilik temudugaku di bilik Manukan. Aku dan Adaha dapat bilik yang sama! Senangnya hati bila ada kawan nak dibuat tempat bergantung harap. Aku ni dah la pemalu orangnya, penakut pun ya jugak! Suka berharap pada orang. Kami berdua mengatur langkah ke lif untuk naik ke aras 2 kerana bilik peperiksaan berada di atas. Kami dengan yakinnya masuk ke dalam lif dan menekan butang ‘1’ tapi kami hairan mengapa lif ni macam tak bergerak. Kami keluar dan masuk balik ke dalam lif dengan perasaan malu kerana kami memang berada di aras 1, memanglah lif tu tak bergerak! Dengan muka kaver malu, kami naik ke aras 2 dan berjalan beriringan ke bilik Perak.
Masuk sahaja ke dalam bilik tersebut, terlintas di fikiran imej Bilik Gerakan sekolah dulu. Sepehsen je rupa! Kami duduk mengambil tempat dan menunggu calon lain masuk mengambil tempat. Selepas diedarkan kertas soalan dan jawapan, kami semua mula menjawab ujian Minat yang mempunyai 227 soalan dalam tempoh 45 minit. Fuh! Mencabar minda jugak la bagi orang macam aku yang masih kabur minatnya dan ada beberapa perkataan yang aku tak faham pun maksudnya! Bila dah tak tahu tu maknanya memang kena jawab ‘tidak’lah dalam kertas OMR tu. Tengah ralit jawab soalan, tiba-tiba aku terdengar suara lelaki berbisik. “Boleh pinjam pemadam?” Terkejut jugak mula-mula sebab aku tengok mamat sebelah aku ni macam sombong je gayanya. Aku pandang dia sekilas dan bagi dia pinjam pemadam. Senyum pun takde sebab aku terlupa macam mana cara nak senyum waktu sibuk jawab periksa tu! Ah, mesti dia bilang aku sombong. Persetankanlah. Kertas soalan depan mata lebih penting daripada persepsi orang waktu-waktu genting ni.
Setelah siap, aku tidak terus menghantar kertas jawapan, aku pura-pura memeriksa jawapan kerana ingin menunggu Adaha yang masih menjawab soalan di sebelah kananku. Usai menjawab soalan, kami sama-sama menghantar kertas jawapan meninggalkan calon lain yang masih terkial-kial menghitamkan bulatan-bulatan kecil  A-Ya dan B-Tidak. Kami berjalan ke lif sambil bertanya soalan yang telah lama bersarang di minda. “Kau buat resume ke tidak?” “ Apa yang kau baca untuk interview tu?” dan sewaktu dengannya. Masuk sahaja ke pejabat SPA di aras 1, kami berdiri dengan muka bodoh-bodoh di depan kaunter yang tiada orang jaga. Setelah lama menunggu kami cuba untuk mencari sendiri di mana bilik yang harus kami tuju.
Aku cuma mengekori dari belakang kerana seperti apa yang telah aku nyatakan tadi, aku ni PENAKUT. Usai ketemu bilik yang dimaksudkan, kami melangkah masuk dan mencari tempat duduk. Ramai juga yang datang , aku ingatkan jumlahnya boleh dibilang dengan jari sahaja. Sambil tu, mataku melilau melihat kaum Adam yang begitu segak berkemeja warna  tahi cicak, bertali leher pelbagai warna dan berkasut kulit hitam berkilat mengalahkan kasut kerja abah-seorang tentera laut. Sejuknya mata memandang kaum lelaki yang berpakaian kemas begitu. Bukan macam para lelaki diluar sana yang pakaiannya, buat sakit mata aku memandang.  Kalau dah baju bundle tu, baju bundlelah jugak! Eheh, kata aku gatal ya? Kalau lelaki boleh cuci mata pandang perempuan, kenapa aku tak boleh cuci mata jugak? Haha!
Aku ingin mencari siapakah gerangan lelaki yang meminjam pemadam aku tadi kerana aku rasa bersalah bila tidak senyum pada dia, rasa kurang ajar pun ada tapi aku dah lupa macam mana rupa dia! Yang aku ingat dia ada iras-iras Cina. Hmm, tak apalah, mungkin dia faham. Selesai mendaftar, aku dapat tahu giliran aku ditemuduga. Aku dapat nombor 13 di bilik Manukan, LTD03. Aku andaikan mungkin aku hanya boleh balik selepas tengah hari kerana jika dilihat kepada jumlah manusia di dalam ruang ini, memang ramai sampai yang lelaki terpaksa berdiri di belakang, tunjuk ke-gentleman-an mereka bagi yang perempuan duduk. Sementara menunggu giliran, aku membaca nota yang aku bawa, ber-Twitter dan berbual dengan Adaha.
Sewaktu kami menunggu, tiba-tiba pintu salah satu bilik temuduga berbunyi kuat seperti orang di dalam mencampak sesuatu ke pintu. Kami yang menunggu di luar mula membuat spekulasi masing-masing mengenai kejadian misteri tersebut. Automatik hati berpuluh-puluh calon yang menunggu diluar diserang virus CUAK. Ada yang berkata interviewers tersebut mengamuk dengan calon yang sedang ditemuduga. Aku pula membuat spekulasi terjadinya sexual harrasment ke atas calon tersebut! Haha! Dirty-minded pulak aku ni kan? Kami semua menunggu dengan sabar sehingga calon tersebut keluar untuk melihat jika ada terjadi apa-apa kepada calon lelaki tersebut. Tapi calon tersebut buat muka toya je. Hmm, misteri sungguh ni. Aku dah cuak sebab aku bakal menjalani temuduga di bilik yang sama! Mintak-mintak interviewers tu nanti tak buat benda tak senonoh.
Aku memang tak banyak bercakap waktu menunggu tersebut. Pertama kerana aku lebih runsingkan soalan yang bakal ditanya interviewers tu nanti. Kedua sebab Adaha dah jumpa kawan lama dia dan aku malas nak beramah mesra dengan orang yang aku cuma jumpa untuk beberapa jam sahaja. Ketiga, aku tak selesa bila budak-budak lelaki yang berdiri di belakang aku tu dengar perbualan aku dengan Adaha. Awkward okay? So, apa yang aku buat ialah 50% cuba ingat pasal Bio dan nota yang setia dalam genggaman, 30% tenung dinding depan mata 20% berangan 10% pandang belakang dan check Twitter. Aku ingat pesan mak pagi tadi, “Jangan gatal-gatal nak bermesej-mesej la apa la. Baca nota tu!” Okay, Kakak anak yang patuh, Mak. Hehe!
Dalam pukul 10 pagi nak dekat pukul 11 pagi, giliran aku untuk ditemuduga. Waaaa, cuaks nok! Aku melangkah seyakin yang boleh, ketuk pintu, senyum yang ikhlas tak ikhlas dan bagi salam dengan jantung yang lagi sikit je nak terkeluar dari badan! Interviewers dua-dua lelaki. Sorang berkemeja putih muka ala Cina, sorang lagi pakai jaket hitam dan botak. Aku cuma menurut arahan interviewer berkemeja putih untuk letak fail sijil atas meja, dan duduk di hadapan mereka. Mula-mula kena perkenalkan diri. Aku pun membebellah pasal diri aku dengan suara yang sedikit bergetar kerana nervous tapi yang peliknya, jantung aku berdegup dengan normal! Pelik ke? Aku tahu asal-usul aku mesti akan menarik perhatian diorang. Asal mana? Kenapa duduk Sabah? Dah muak dengan soalan-soalan tipikal tu tapi aku tetap jawab dengan senang hati. Selepas tu, soalan lain diutarakan, kenapa aku berminat sangat dengan jawatan ni? Aku pun jawablah macam yang abah bagitahu masa dalam kereta tadi. Sebab minat bidang perubatanlah, nak berkhidmat dengan masyarakatlah, boleh tolong selamatkan nyawalah, hentamlah apa yang terlintas di fikiran waktu tu. Tapi to be honestlah kan, aku blank kut bila dah masuk bilik temuduga tu! Mana ada nak terlintas lagi dah dalam fikiran. Dia tanya jugak, aku tak kisah ke kalau kena hantar ke pedalaman? Aku pun jawablah tak kisah, sanggup je. Dia tambah lagi, takde elektrik, takde air paip, mandi sungai, ada buaya lagi dalam sungai, aku cuma jawab, ya, takpe, tak kisah, sanggup, insyaAllah boleh dan insyaAllah takde buaya dalam sungai! Dia tanya lagi, kat Sabah ni pedalaman mana yang aku pernah pergi, aku jawab tak pernah, dalam hati jawab masuk dalam 1B pernah la! Then, interviewer botak tu bukak mulut, dia nampak sijil Anugerah NILAM aku berlambak dalam fail *aku dah cuak, dia ni mesti bagi soalan yang buat aku speechless punya!* dia tanya, buku perubatan apa yang aku baca? Ah sudah, aku memang kantoi bab ni sebab buku Bio aku tak habis kaver lagi! Aku pun terkedu kejap cari idea pasal badan manusia apa aku nak guna buat modal bidas interviewer ni. Dan aku dengan bangangnya pergi jawab pasal tulang manusia. Dan disitulah aku tau aku diambang maut! Mula-mula okay, tapi bila dia suruh aku buat ceramah spontan pasal oesteoporosis, aku terus blank, speechless dan rasa nak menangis dan tu jugak! Mak, aku tau aku dah silap langkah pilih topik yang aku tak berapa konfiden. Habis tu, aku dah panic, aku sebut je la apa yang aku ingat dan kebetulan aku teringat ada borak dengan Adik pasal tulang malam tadi. Speechless babe, SPEECHLESS! Bila diorang tengok aku dah Panic! At The Disco, diorang tamatkan sesi temuduga yang memang sedih pedih ni lah. Kecewa betul aku, hanya Tuhan yang tahu macam mana aku rasa disebalik senyum hambar yang aku lemparkan pada semua orang. Waktu hujung-hujung aku dah nak bukak pintu, interviewer botak tu cakap, “Si Nurul ni bukannya tidak boleh, tapi kamu panic.” dan kata-kata dia tu dapat didengari oleh semua orang kat luar sebab aku dah bukak pintu. Malunya bukan kepalang. Geng lelaki yang duduk kat belakang aku tu semua gelak. Bapak malu habaq hang! Tapi biasalah aku, buat tak tahu sudah!
Duduk je sebelah Adaha, aku bagi dia tips-tips supaya tak jadi macam aku. Aku tak sekejam mana nak biar dia tercengang-cengang macam aku masa kena interview nanti. Bila tiba giliran dia, aku masih setia duduk di kerusi tadi menunggu Adaha di-interview. Kurang ajarlah pulak bila tinggalkan dia sedangkan waktu aku kena interview dia baik hati tolong jagakan beg Reebok hitam aku tu. Apa salahnya bagi kawan moral support, nama pun kawan. Alhamdulillah, dia dapat buat dengan baik. Sungguh aku jealous dengan Adaha. Kalaulah masa boleh diundur semula, aku takkan risikokan diri aku dengan benda yang memang aku tak konfiden. Takpelah, bak kata Agnes, yang lepas biarkan lepas. insyaAllah ada harapan.
Kami berdua melangkah keluar berjalan dibawah terik matahari yang terpacak atas kepala. Aku rasa harini dressing aku sangat istimewa, ala-ala pekerja pejabat. Aku suka, walaupun ada unsur feminin bercampur  dengan unsur ‘ganas’ sikit. Dengan gaya jalan lagak gangster, jam yang tak serupa jam perempuan, beg Reebok yang sepatutnya diganti dengan handbag. Cuma baju kurung, kasut hitam bertumit dan tudung je yang buat aku dikenali sebagai perempuan!
Kami berpisah di depan Pejabat Pendaftaran Negara kerana abah sudah sedia menunggu di dalam kereta di depan pintu pagar manakala Adaha masih menunggu kakaknya yang sedang lepak di KK. Rasa sedih nak berpisah dengan Adaha kerana aku tak tahu adakah lagi peluang untuk kami bertemu di lain masa. Namun, ralat di hati terhapus sedikit demi sedikit mengikut langkah kakiku. Tamat sudah mimpi ngeri saban malam aku!

Hah, dah baca? Kalau ada salah kat mana-mana tu, mintak maaflah ye. aku dah setahun tak masuk kelas BM. Hehehe! Kbai. 
PS: Malulah bagi orang baca! *tutup muka*